Penganalisis: Kabinet bayangan perlu agar PH lebih berkesan

Tidak seperti sebelumnya, PH kini memiliki kepakaran dan jumlah anggota parlimen yang cukup untuk membentuk kabinet bayangan.

Justeru penganalisis politik Wong Chin Huat menggesa PH menggunakan peluang tersebut untuk menambah baik peranannya sebagai pembangkang.

Bercakap dalam sesi webinar pagi ini, beliau berkata PH dan sekutunya memiliki 109 anggota Parlimen, iaitu hampir separuh kerusi dalam Dewan Rakyat.

“Dengan jumlah yang besar itu, anda pastinya boleh membentuk kabinet bayangan.

“Selain kritikan, mereka juga perlu menawarkan alternatif,” katanya dalam webinar yang membincangkan aspek kabinet bayangan dalam politik kepembangkangan.

Menjadi amalan negara demokrasi berparlimen seperti United Kingdom, kabinet bayangan adalah barisan “menteri bayangan” di kalangan pembangkang sebagai alternatif kepada kabinet kerajaan.

Pada masa lalu, Pakatan Rakyat menubuhkan “jawatankuasa bayangan” di mana tiga anggota parlimen akan memberi tumpuan kepada satu kementerian.

Wong yang merupakan profesor di Universiti Sunway berkata, struktur itu gagal berfungsi dan mencadangkan PH mewujudkan satu kabinet bayangan penuh.

Dengan setiap anggota parlimen untuk setiap kementerian, ia bukan saja akan menambah baik mutu perbahasan Parlimen, tetapi dapat melatih anggota parlimen sebagai calon menteri, katanya.

“(Bekas menteri kesihatan) Dr Dzulkefly Ahmad merupakan menteri penggal pertama yang sangat baik kerana dia seorang yang cekap. Tetapi ramai menteri lain (dalam kabinet PH) dikritik kerana tiada pengalaman dan tak cekap.

“Ia bukan kesalahan mereka sepenuhnya kerana parti mereka tiada dalam kerajaan sebelum ini. Selain itu, sejak 2008, Pakatan Rakyat dan PH tidak pernah benar-benar menubuhkan kabinet bayangan untuk melatih pemimpinnya,” katanya lagi.

Keputusan pembangkang

Pada September 2018, BN yang pertama kali menjadi pembangkang mengumumkan kabinet bayangannya.

Hari ini, seorang lagi panel webinar Azalina Othman Said, yang merupakan anggota Parlimen Pengerang, berkata usaha itu dihalang PH yang enggan mengiktirafnya.

Pada masa itu, beliau menjadi menteri bayangan undang-undang.

“Cabaran terbesar ketika kami menubuhkan kabinet bayangan adalah kerajaan ketika itu tidak mahu mengiktiraf…Surat saya kepada kerajaan tidak mendapat respons,” ktanya.

Kini Azalina berkata bergantung kepada pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengiktiraf sebarang bentuk kabinet bayangan.

“Apa-apa pun, anda tidak boleh menafikan bahawa unsur terpenting dalam mana-mana kabinet bayangan…adalah keputusan yang perlu dibuat parti pembangkang,” katanya lagi.

Cabaran penubuhan

Sementara itu, Anggota Parlimen Lembah Pantai daripada PKR, Fahmi Fadzil membangkitkan cabaran mewujudkan kabinet bayangan, antaranya kerjasama politik yang mudah berubah, keputusan pilihan raya yang tidak menentu seperti keperluan konsensus di kalangan pemimpin parti.

Menurutnya, jawatankuasa parlimen yang melibatkan kedua-dua pihak politik lebih berkesan dalam meneliti menteri dan dasar.

Walaupun tanpa struktur kabinet bayangan rasmi, Fahmi berkata pemimpin PH sudah pun melaksanakan pengkhususan apabila mengulas tindakan kerajaan.

“Mereka yang mempunyai pengalaman dalam kerajaan adalah antara yang paling awal memberi respons dalam satu perkara tertentu.

“Kita melihat (bekas menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna) Saifuddin Nasution memberi respons dalam isu perdagangan domestik dan koperasi. Kita melihat (bekas timbalan menteri Pembanguna Wanita, Keluarga dan Masyarakat) mengulas isu Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Mengulas kenyataan itu, Wong berkata ada keperluan untuk politik kepembangkangan yang lebih “profesional” yang memberi tumpuan kepada dasara dan tata kelola.

Jika mana-mana ahli politik hilang kerusinya, kata Wong lagi, mereka boleh dilantik sebagai senator – satu amalan yang dapat dilihat dalam pentadbiran PH dan juga PN.

Kebimbangan bahawa struktur kabinet bayangan yang terlalu rigid berbanding kerjasama politik yang berubah boleh diselesaikan dengan “merombak” kabinet tersebut.

“Mereka (PH) telah belajar bahawa menteri yang tidak terlatih akan merosakkan imej mereka, dan memberikan peluru yang mudah kepada seteru. Jadi persoalan di sini ialah patutkah mereka mengulang kesilapan yang sama?

“Walaupun kerajaan mungkin mahu menangguhkan (pengiktirafan terhadap kabinet bayangan) selama yang mungkin, perkara itu kini bergantung kepada pembangkang,” katanya lagi.

Webinar ini dianjurkan NGO Gabungan Bertindak Malaysia dengan Pengarah Eksekutif Bersih Yap Swee Seng sebagai pemudah cara.

Expert Cited

Related JCI Publications

2020-06-02T11:42:27+08:00