Kanak-kanak Malaysia lebih terbantut berbanding di Gaza

This article first appeared in Astro Awani on 29 May 2019. 

KUALA LUMPUR: Ketika seluruh negara mengejar transformasi ke arah pemodenan, kesihatan golongan kanak-kanak pula diabaikan.


Di luar pengatahuan sebilangan kita, kadar kebantutan dalam kalangan kanak-kanak negara ini berada pada 20.7 peratus iaitu lebih tinggi daripada kadar 7.4 peratus di Tebing Barat dan Gaza yang dibelenggu konflik keganasan.

Secara perbandingan, kadar kebantutan negara lebih dekat dengan kadar di Iraq iaitu 22.6 peratus
susulan campur tangan Amerika Syarikat pada tahun 2011.

Beirkut penemuan terbaharu dalam kaji selidik Stunting in Malaysia: Costs, Causes and Courses for Action’ oleh Derek Kok di Jeffrey Cheah Institute on Southeast Asia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), masalah kebantutan bukan semata-mata berkaitan masalah ketinggian, tetapi ia juga satu petanda kesihatan berpunca daripada malnutrisi, jangkitan berulang kali dan kurang stimulasi psikososial.

Isu kebantutan pada tahap awal kehidupan iaitu 1,000 hari dari tarikh kelahiran boleh meninggalkan impak negatif kepada pembangunan seorang kanak-kanak.

Antaranya termasuk masalah kognisi dan prestasi dalam pendidikan yang kemudian berlanjutan ke masalah pekerjaan, gaji rendah, peningkatan berat badan diikuti dengan risiko penyakit kronik berkaitan dengan nutrisi.

Dalam jangka masa pendek, kebantutan boleh meningkatkan risiko kematian dan morbiditi (berpenyakit).

Berdasarkan laporan statistik Bank Dunia pula, kadar kebantutan di Malaysia telah merosot kembali kepada tahap yang sama pada tahun 1999 walaupun ia semakin mengecil di seluruh dunia.

Kadar kebantutan negara pada 20.7 peratus jauh melangkaui sasaran 11.0 peratus yang ingin dicapai pada tahun 2025 bawah Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) 2016-2025.

Antara penemuan lain, kebantutan merentasi semua tahap pendapatan, walaupun ia lebih menonjol dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah.

Selain itu, masalah kebantutan rata-ratanya mencatat kadar tinggi bagi semua kaum, namun ia lebih tinggi dalam kalangan kaum Melayu berbanding kaum Cina dan India.

Dari aspek kebantutan dalam kalangan negeri di Malaysia pula, semua negeri mencatatkan kadar kelaziman lebih 6.9 peratus manakala Kelantan, iaitu negeri paling miskin di negara ini mencatat kadar kebantutan tertinggi dengan 34.0 peratus dan Terengganu kedua tertinggi dengan 26.1 peratus.

Seperkara yang harus diketahui, masalah kebantutan bukan mudah untuk diatasi kerana ia disebabkan oleh pelbagai faktor yang berakar umbi dalam isi rumah, persekitaran, sosioekonomi dan budaya.

Kaji selidik Stunting in Malaysia tertumpu kepada faktor jaminan kedapatan makanan (food security) dalam isi rumah, amalan penjagaan dan pemakanan, akses kepada perkhidmatan kesihatan serta persekitaran yang sihat.

Menurut Derek dalam kajiannya, cara penyelesaian bagi isu kebantutan negara terlalu fokus kepada bantuan makanan dan kurang mementingkan faktor-faktor akar umbi lain.

Tambahnya, kebantutan tidak patut dilihat sebagai kes berasingan yang hanya tertumpu kepada seorang kanak-kanak, tetapi turut melihatnya sebagai isu yang berlanjutan daripada ibu kepada anak, terutamanya anak perempuan.

Antara sebab utama masalah kebantutan berlaku secara berleluasa dan berpanjangan adalah kerana seorang gadis yang terbantut akan membesar menjadi dewasa lalu melahirkan anak yang turut mengikuti gen kebantutan – sekali gus melanjutkan satu kitaran hidup yang malang.

Source: Astro Awani, as written by Nailah Huda.
Derek Kok’s working paper, “Stunting in Malaysia: Cost, Causes and Courses for Action” can be accessed here.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *