Hubungan dengan China wajar ditingkatkan – Chin Tong

This article first appeared in Astro Awani on January 24, 2019.

PETALING JAYA: Melihat kepada perkembangan ekonomi dan politik negara China yang semakin bertambah kukuh malah ada yang menjangkan ia akan menjadi sebuah negara ‘kuasa besar’ di masa akan datang, adalah wajar bagi Malaysia untuk menimbangkan langkah-langkah bagi meningkatkan lagi hubungannya dengan negara itu.

Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong berpendapat bahawa pada masa yang sama, perlu juga dilihat bagaimana China berhubung dengan Malaysia, di mana ia seharusnya dengan cara yang lembut atau pendekatan yang cukup selesa buat kedua-dua negara.

“Ideanya ialah Malaysia mahukan suatu dasar luar dengan ruang yang luas dan bebas, kita tidak mahu dilihat menjadi proksi kepada sesiapa pada masa akan datang, dan pada masa yang sama kita mahukan satu hubungan yang benar-benar bermakna,” katanya dan menambah bahawa ia adalah pandangan peribadinya, dan tidak seharusnya dilihat dari konteks peranannya sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.

–– ADVERTISEMENT ––

Liew adalah salah seorang ahli panel dalam forum “Kerangka Kerja Keselamatan Nasional bagi Asean dalam Dunia Multi-Polar” anjuran Jeffrey Cheah Institute on Southeast Asia (JCI), di sini pada Rabu.

“Seterusnya apabila kita bercakap mengenai kuasa besar, kita perlu mengekalkan jarak kita yang saksama di antara mereka, kita tidak mahu dilihat terlalu condong kepada China, atau terlalu condong kepada Amerika Syarikat, kita mahukan supaya kita dapat beritahu mereka, bahawa kami rakan kepada kedua-duanya,” tambahnya.

Forum itu diadakan bagi mengkaji perkara-perkara yang mempunyai kepentingan nasional dan serantau, menyediakan platform bagi membincangkan dasar-dasar yang innovatif, di samping memupuk perbincangan intelektual berhubung tajuk-tajuk yang menyeluruh, dari isu keselamatan sehingga kepada isu kelestarian.

Forum JCI yang pertama tahun ini mengkaji bagaimana negara seharusnya menangani suasana pasca-Perang Dingin dan pasca-hegemoni antarabangsa.

Source: Astro Awani