‘Cash is king’ dan calon langsung akan ‘diekspot’ ke pilihanraya Semenanjung dan Sabah

Dua serampang Barisan Nasional yang memberikan kejayaan besar bagi gabungan itu di dalam pilihanraya Sarawak baru-baru ini berkemungkinan akan di ekspot ke Semenanjung dan Sabah pada masa akan datang.

Taktik-taktik itu adalah ‘calon langsung’ atau ‘BN direct candidate’ dan ‘cash is king’ atau ‘wang tunai adalah raja’, akan dilihat di dalam pilihanraya-pilihanraya akan datang.

Pakar sains politik kelahiran Sarawak Prof James Chin berkata ini berdasarkan pengalaman BN Sarawak di mana dua taktik tersebut dapat meraih sokongan yang padu pengundi pendalaman.

Di samping itu, meletakkan calon langsung dapat mengatasi sengketa politik di antara parti komponen BN Sarawak seperti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan parti serpihan seperti Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Perbalahan antara SUPP dan parti serpihan tersebut merumitkan usaha BN Sarawak untuk meletakkan calon yang paling sesuai bagi sesetengah kerusi.

Berbanding dengan calon BN yang biasa, calon langsung adalah individu yang pro-BN tetapi bukan ahli sebuah parti komponen gabungan itu.

Kebiasaanya calon langsung merupakan individu yang terkemuka di dalam sesebuah kawasan tetapi oleh sebab-sebab tertentu, mereka bukan ahli parti komponen BN yang secara tradisi bertanding di kerusi tersebut.

“BN dan Umno berkemungkinan akan menggunakan pendekatan calon langsung bagi kerusi-kerusi yang bermasalah di dalam pilihanraya umum akan datang,” kata Chin, pengarah Asia Institute di University of Tasmania, Australia.

Beliau menganggarkan bahawa taktik calon langsung akan digunakkan di kerusi-kerusi bermasalah Wilayah Semenanjung yang biasa dipertandingkan tetapi sukar ditawan oleh parti komponen seperti Gerakan, MCA dan Umno.

BN Sarawak menengahkan 13 calon langsung di dalam pilihanraya Sarawak pada Mei 7.

Daripada jumlah itu, 11 berjaya memenangi kerusi yang ditandingi mereka sekaligus menyumbang kepada kejayaan BN Sarawak dalam memperolehi 72 daripada 82 kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Taktik pemberian bantuan wang tunai dan projek infrastruktur di kerusi kawasan pendalaman juga menjadi faktor penentu di dalam banyak pertandigan, kata Chin di dalam syarahannya di Sunway University di Subang Jaya.

“Kempen BN di kawasan pendalaman oleh BN Sarawak dan BN persekutuan dengan pemberian bantuan secara langsung sangat efektif terutama sekali dalam menambat hati pengundi atas pagar,” kata Chin, yang juga Felow Kanan di Institut Asia Tenggara Jeffrey Cheah.

“Kemungkinan pendekatan cash is king ini akan juga dilihat di dalam pilihanraya ke-14.” – 14 Mei 2016.

Source – The Malaysian Mirror