Berita palsu guna emosi bukan fakta

This article first appeared in Utusan Online on January 26, 2018.

Penyebaran berita palsu dalam media sosial membuatkan orang ramai terus mempercayainya mengikut emosi semata-mata tanpa memeriksa sebarang fakta terlebih dahulu.

Pengarah Institut Malaysia Universiti Kebangsaan Australia, Dr. Ross Tapsell berkata, dengan menggunakan emosi, rasa tidak puas hati rakyat terhadap sesuatu isu digunakan sepenuhnya menyebabkan maklumat salah terus dipercayai bulat-bulat.

Katanya, ia pada masa yang sama menjejaskan kredibiliti media arus perdana selaku rujukan utama masyarakat masa kini.

“Berita palsu menggunakan emosi pengguna media sosial dalam pelbagai isu yang menjadi kebimbangan mereka seperti isu agama dan ekonomi supaya mesej palsu dapat disebarkan dengan meluas.

“Dalam zaman pasca kebenaran ketika ini, ramai yang sudah tidak percaya dengan media arus perdana, mereka lebih percaya kepada mesej rakan-rakan di Facebook dan WhatsApp, jika ini berterusan, tidak mustahil demokrasi di Asia Tenggara hilang kerana berita palsu,” katanya.

Source: Utusan Online