Asas urus tadbir kerajaan baharu bersifat kolektif

This article first appeared in Utusan ONLINE on May 15, 2018

Kerajaan Persekutuan yang bakal dibentuk akan mengamalkan bentuk pentadbiran bersifat kolektif dalam memperkenalkan dan melaksanakan dasar,  polisi dan hala tuju negara.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Saiful Wan Jan berkata, kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil kira pandangan dan kehendak keempat-empat parti dalam pakatan itu sebelum sesuatu polisi atau dasar dilaksanakan.

“Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan mengamalkan prinsip big brother di mana sesuatu dasar dan polisi itu ditentukan oleh pemimpin tertinggi sahaja.

“Perdana Menteri kini akan memainkan peranan sebagai pemantau dalam memastikan pelaksanaannya dicapai selepas keputusan dicapai secara kolektif,” katanya dalam sesi pertama program Mengekalkan Janji-janji Perubahan di Universiti Sunway di sini hari ini.

Panel sesi pertama anjuran Institut Jefftey Cheah itu turut dibarisi oleh ahli Parlimen Simpang Renggang, Dr. Maszlee Malik dan bekas ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

Wan Saiful mengakui sudah tentu akan berlaku perbezaan dan percanggahan pendapat tetapi Pakatan Harapan sudah membuktikan mampu mencapai kesepakatan.

“Apabila tidak bersetuju atau menentang sesuatu perkara, kami akan menyatakan secara terbuka namun seperti dapat dilihat ketika pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum ke-14, akhirnya keputsan kolektif akan dicapai,” ujarnya

Source: Utusan ONLINE